Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.
Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payahpun 'make up'.
Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.
Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.
Pakaian modern(?) memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakaipun nampak pusat.
Berseluar ketat bajupun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.
Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersandung.
Lagilah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.
Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.
Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.
Kalau nak "Make Up" biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.
Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.
Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat pun separuh mati.
Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.
Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.
Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.
Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Yang baik bolehlah anda ikuti,
Kalau boleh besok mulai.
Sunday, November 28, 2010
hanya kerak nasi untuk emak...

Bacalah... Moga-moga kita yang masih ada seorang wanita yang dipanggil mak atau ibu atau mama atau apa saja panggilan sedar dan insaf betapa besarnya pengorbanan wanita itu.
Cerita diambil dari artikel islamik
Hari ini semua adik beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya di kampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya ,ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti.
Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari. Aku minta untuk membantu ,"tak payah" katanya "biar mak yang buat nanti lain rasanya". Aku biarkan sahaja walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang baru nak merayakan aidilfitri bersamanya.Aku tahu disudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya..tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya.
Terhinjut-hinjut mak kesana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng. bukan main khusyuk dan bersungguh cuba menyediakan juadah yang semampunya.
Bila semuanya dah sampai aku mula hidangkan nasi yang digoreng mak untuk abang- dan kakak yang tiba dengan anak-anak mereka. Semuanya pakat menjamu selera..memang berselera semua sukakan nasi goreng mak..mak tahu anak-anaknya sukakan nasi goreng air tangannya..Dalam tak sedar nasi dah hampir habis. Terdetik dihatiku..." ahhh mak belum makan apa-apa semenjak pagi kerana sibuk sediakan nasi tu"...seraya tu abang ku bertanya 'siapa tak makan lagi nasi ni'. Aku menjawab ' mak belum makan apa lagi tu'
Mak dengan bersungguh menjawab " Ehh mak tak mau...tak lalulah nasi goreng, nak makan roti ja sat lagi'...dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kata ku dalam hati." oohh mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit diebetisnya" ....
Bila semua dah pulang..aku lihat mak terhinjut-hinjut kedapur..lantas aku tanya 'mak nak apa..nak ambilkan.'.' takpa nak rasa ni sikit'. Sayu sedih dan terguris sungguh hati aku..bila kulihat mak rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki dalam kuali untuk dimakan.
Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya. ..zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya asal mereka semua kenyang. Aku benar-benar kalah dengan apa yang aku saksikan..YA RABB Engkau peliharalah emakku Ampunilah Dosanya,Berilah kekuatan pada anak-anaknya untuk membalas jasa emak yang tak terhingga.
Saturday, November 27, 2010
cara bercinta dengan syariat islam..

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti ini jika manusia akan diperintahkan untuk memebunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.Rasulullah pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin cinta-menyintai ini.
Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah kali itu agak menarik ; Jodoh.
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan yang cara masyarakat sekarang telah lari daripada syariat yang sepatutnya. “Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan yang empunya diri dan terus menyatakan niat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.
Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah Haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.
Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup umat islam. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan baitul muslim yang diidamkan oleh manusia serta diredhai oleh Allah. Inilah percintaan dalam Islam, iaitu selepas perkahwinan. Insya-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan kita itu.
Untuk kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang muslimah. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita."
Wednesday, November 3, 2010
cebisan kenangan
meniti saat-saat terakhir di UPSI amat mengundang pilu di sanubari. selama empat tahun menimba ilmu bersama teman seperjuangan yang disayangi menjadikan saya insan yang bertambah dewasa dek pengalaman yang menimbun. pertemuan dan perpisahan itu adalah adat insan beriman. sekarang ini sudah berakhirnya kuliah. hanya study week selama 3 minggu termasuk cuti raya haji sahaja yang tinggal. sukarnya nak tinggalkan kolej yang tercinta. apapun banyak kenangan indah yang saya kutip di sini. kini semuanya pasti tersurat dan tersemat kemas dalam sanubari. bersabarlah sahabat dengan ketentuan yang telah ditentukan olehNya. pastinya ada seribu rahmat yang tersembunyi. buat semua sahabatku yang kukenali ketahuilah bahawa diri ini amat menyayangi kalian semua. semoga kalian semua sentiasa dalam peliharaanNya..
sematkan setiap detik dan kenangan kita dalam sanubari..insyaAllah..






sematkan setiap detik dan kenangan kita dalam sanubari..insyaAllah..






Subscribe to:
Posts (Atom)